Apa Kesan CINTA?

4.05.2011

Apa kesan daripada CINTA?


Persepsi kita pasti berbeza dalam menghuraikan mengenai pandangan mereka terhadap kesan daripada cinta. Biasa kita dengar adalah cinta itu buta, cinta menyebabkan buta dan cinta menyebabkan semua yang buruk kelihatan elok sahaja.

Cinta bukan sahaja menyebabkan buta mata malah menyebabkan hilang segala deria rasa yang lain. Cinta akan memekakkan telinga, membisukan mulut, menghilangkan deria bau serta rasa sehingga rasa sepahit hempehu boleh bertukar menjadi semanis madu.

Kita tahu, ramai orang kata apabila sudah mabuk cinta, perkara yang dicintai pasti akan kelihatan cantik menawan walaupun terlalu buruk pada pandangan orang lain. Kesan cinta juga menjadikan perkara yang dicintai terlalu manis walaupun ia adalah sesuatu yang pahit di sisi pihak lain. Sesuatu yang busuk pasti akan menjadi terlalu wangi apabila wujudnya rasa cinta dan hati juga akan senantiasa berbunga-bunga.

Apabila perasaan cinta telah merajai, penyakit-penyakit yang disebabkan cinta akan menyerang. Mata menjadi buta, telinga menjadi pekak, hilang deria bau dan hilang deria rasa. Inilah penyakit-penyakit cinta.

Kita sangat memerlukan penyakit-penyakit ini jika saluran cinta dicurahkan pada tempat yang sewajarnya. Pupuk dan semaikanlah perasaan dan rasa cinta kepada Islam, cintakan kepada perjuangan Islam, cintakan gerak kerja Islam kerana mendokong perjuangan ini ibarat menempuh sebuah perjalanan yang penuh ranjau berduri.

Apabila cinta telah menebal dan merajai hati, mata akan 'buta' kepada nikmat kesenangan serta kemewahan dunia, telinga juga 'pekak' kepada tohmahan, cacian dan segala makian, setiap kesusahan dan keperitan yang terlalu pahit ditempuh dengan penuh 'rasa' manis kerana mata pendokong yang mencintai perjuangan Islam akan 'nampak' ganjaran dan nikmat yang Allah SWT telah janjikan, mereka 'mendengar' khabar gembira yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dan hati mereka sentiasa terpaut kepada kemanisan menyebarkan serta melaksanakan gerak kerja Islam.

"Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan (aktiviti) yang boleh membawa kepada sayang kepadaMu" - Hadis Riwayat Tirmizi

Pena Daie


Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Post a Comment

    Apa komen anda